UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
Abstract : Universiti Pendidikan Sultan Idris |
Kajian ini bertujuan untuk menguji kesan kaedah pembelajaran tutor sebaya berbantukan rakaman audio-video pengajaran pensyarah terhadap prestasi akademik dan kemahiran komunikasi pelajar kursus Ekonomi di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di negeri Perak. Kajian ini juga memeriksa sama ada terdapat perbezaan dalam kehadiran dan masa pembelajaran pelajar pra-pasca intervensi antara ketiga-tiga kumpulan kajian. Terdapat tiga jenis kaedah pembelajaran yang diuji dalam kajian ini melibatkan rakaman audio-video pengajaran pensyarah, kaedah pembelajaran tutor sebaya berbantukan rakaman audio-video pengajaran pensyarah dan kumpulan kawalan yang tidak diberi sebarang rawatan. Instrumen yang digunakan ialah ujian pra dan pasca, soal selidik dan temu bual dengan pelajar dan pensyarah yang terlibat dalam kajian ini. Kaedah kuantitatif dengan reka bentuk kuasi-eksperimen ke atas 186 orang pelajar dari enam buah kelas tutorial. Dua jenis analisis iaitu analisis deskriptif bagi profil responden dan analisis inferensi MANCOVA, MANOVA, ANCOVA, ANOVA dan analisis korelasi Pearson. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kaedah pembelajaran tutor sebaya berbantukan rakaman audio-video pengajaran pensyarah lebih berkesan meningkatkan prestasi akademik dan kemahiran komunikasi pelajar walaupun terdapat peningkatan prestasi akademik dan kemahiran komunikasi pelajar daripada sampel kumpulan yang diberikan rakaman audio-video pengajaran pensyarah. Dapatan juga menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan dari segi kehadiran dan masa pembelajaran pelajar ke atas sampel kajian dengan kaedah pembelajaran tutor sebaya berbantukan rakaman audiovideo pengajaran pensyarah berbanding sampel kumpulan kawalan. Implikasi kajian mencadangkan bahawa kaedah pembelajaran tutor sebaya berbantukan rakaman audiovideo pengajaran pensyarah ini dapat membantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, kajian ini mencadangkan pihak Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama pihak universiti dan pihak-pihak berkepentingan untuk menggalakkan kaedah pembelajaran baru ini khususnya di tahap pendidikan tertiari seiring dengan arena pendidikan berteraskan teknologi semasa. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |