UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
Abstract : Universiti Pendidikan Sultan Idris |
Kajian ini dijalankan bertujuan membina model kompetensi guru sains sekolah menengah di Perak. Pendekatan kuantitatif dengan reka bentuk kajian tinjauan digunakan dalam kajian ini. Sampel kajian terdiri daripada 415 orang guru sains sekolah menengah kebangsaan di seluruh Perak. Empat instrumen diadaptasi dan digunakan untuk mengumpul data kajian iaitu Standard Guru Malaysia, Effective Professional Development For Teachers, Perceived Organizational Support dan Teacher Efficacy. Data dianalisis dengan menggunakan analisis deskriptif dan inferensi. Statistik deskriptif menjelaskan demografi dan tahap kompetensi guru sains. Manakala statistik inferensi menggunakan analisis multivariat iaitu Permodelan Persamaan Berstruktur. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pembangunan profesional, sokongan organisasi dan efikasi guru adalah merupakan faktor yang membentuk model kompetensi guru sains. Kajian juga mendapati kompetensi guru, pembangunan profesional, sokongan organisasi dan efikasi guru berada pada tahap tinggi. Pembangunan profesional, sokongan organisasi dan efikasi guru mempunyai kesan yang signifikan terhadap kompetensi guru sains. Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa efikasi guru adalah pengantara yang signifikan terhadap hubungan antara pembangunan profesional dan sokongan organisasi terhadap kompetensi guru sains. Kesimpulannya, kajian ini berjaya membangunkan model kompetensi guru sains dan ini adalah model pertama dicipta sebagai penanda aras kompetensi guru sains di Malaysia. Model kompetensi guru sains ini menyumbang kepada program peningkatan kompetensi guru yang merupakan pemangkin kepada pembentukan guru berkualiti. Oleh itu, model ini boleh diaplikasi dalam program pembangunan kompetensi guru sains di sekolah dan memantapkan latihan perguruan di institut perguruan bagi memartabatkan profesion keguruan dan bidang pendidikan amnya. Implikasinya, model boleh menjadi panduan keberhasilan, kesetaraan kualiti, rujukan pelaksanaan dan amalan terbaik dalam sistem pembangunan kompetensi guru sains di Malaysia. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |