UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
Full Text : Universiti Pendidikan Sultan Idris |
Kajian ini bertujuan menjana atribut guru sains berkualiti dari segi nilai, kemahiran dan pengetahuan, yang boleh dijadikan hasrat semua guru sains. Kajian kuantitatif dengan reka bentuk tinjauan ini juga melibatkan pembangunan soal selidik bagi mengesahkan atribut yang dikenal pasti melalui analisis dokumen dan temu bual pakar pendidikan. Sampel dipilih menggunakan teknik persampelan rawak pelbagai peringkat daripada populasi seramai 1767 guru pentadbir sekolah menengah dan guru cemerlang sains di Semenanjung Malaysia. Sampel terdiri daripada 151 penolong kanan dalam mata pelajaran sains, 151 ketua panitia sains dan 140 orang guru sains cemerlang. Analisis dokumen dan temu bual kumpulan pakar dilaksanakan bagi mengenal pasti atribut guru sains berkualiti. Hasilnya, sebanyak 72 atribut dijana sebagai petunjuk bagi atribut guru sains berkualiti. Pengesahan melibatkan penentuan kesahan kandungan, kesahan menumpu, kesepadanan model dan kebolehpercayaan dalaman dan komposit. Proses ini melibatkan pengiraan Indeks Pengesahan Kandungan (IPK) daripada penilaian lima orang pakar, Analisis Faktor Penerokaan (AFP) dan Analisis Faktor Kesahan (AFK). IPK menghasilkan indeks kesahan yang tinggi dengan nilai masing-masing, 0.963, 0.969 dan 0.961 bagi konstruk nilai, kemahiran dan pengetahuan. AFP menghasilkan tiga faktor yang mewakili atribut nilai, kemahiran dan pengetahuan walaupun terdapat beberapa item disingkirkan. Di samping itu, AFP menghasilkan indeks kebolehpercayaan dalaman 0.89. AFK mengesahkan ketiga-tiga atribut mencapai nilai indeks kesepadanan model yang disyorkan. Nilai purata Variance Extracted (AVE) melebihi 0.5 yang menunjukkan kesahan menunpu dicapai dengan 28 item dikekalkan. AFK juga menghasilkan indeks kebolehpercayaan komposit 0.98. Kesimpulannya, kajian ini berjaya menjana sebanyak 28 atribut guru sains berkualiti yang mempunyai kesahan dan bolehpercaya yang tinggi. Kajian ini juga berjaya membangunkan sebuah instrumen yang mempunyai kesahan dan kebolehpercaya yang boleh diguna pakai dalam kajian berkaitan pada masa hadapan. Implikasinya, atribut yang dihasilkan boleh menjadi panduan bagi guru dan institusi pendidikan guru untuk menetapkan jangkaan atribut bagi melahirkan guru sains berkualiti. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |