UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
Full Text : Universiti Pendidikan Sultan Idris |
Kajian ini bertujuan untuk mengkaji tahap pemahaman guru terhadap pelaksanaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam pengajaran Bahasa Melayu dan kesan pendekatan KBAT terhadap skor penulisan karangan murid. Pendekatan kuantitatif melalui kaedah kuasi eksperimen digunakan dalam kajian ini. Kajian ini dijalankan di dalam dua fasa. Fasa satu dijalankan untuk mengkaji tahap pemahaman guru dengan menggunakan soal selidik sebagai instrumen, manakala ujian pra dan ujian pasca pula dijalankan dalam fasa kedua untuk melihat kesan pendekatan KBAT dengan membandingkan tahap pencapaian penulisan karangan murid. Ujian pra dan ujian pasca ditadbirkan terhadap kedua-dua kumpulan murid, iaitu kumpulan kawalan dan kumpulan rawatan. Kumpulan rawatan diajar melalui pendekatan KBAT dan peta pemikiran, manakala kumpulan kawalan diajar berdasarkan pendekatan tradisional. Bagi mendapatkan data kesan pelaksanaan pendekatan KBAT terhadap skor penulisan karangan murid, analisis ujian t terhadap perbezaan skor pencapaian karangan digunakan. Kajian yang dijalankan selama lapan minggu ini melibatkan 40 orang guru sebagai responden dan 65 orang murid dari empat buah sekolah di sekitar Zon Semenyih, Selangor. Responden murid mewakili 33 murid dari kumpulan eksperimen dan 32 murid dari kumpulan kawalan. Data dianalisis menggunakan statistik deskriptif dan inferens. Dapatan kajian menunjukkan tahap pemahaman dan persepsi guru terhadap KBAT adalah tinggi (100%). Dapatan kajian turut menunjukkan bahawa skor min bagi kedua-dua ujian dalam kumpulan kawalan tidak mempunyai perbezaan min yang signifikan (t=2.31). Dapatan kajian juga mendapati terdapat perbezaan min yang signifikan dalam ujian pasca bagi kumpulan kawalan dan rawatan (t=3.48). Dapatan turut menunjukkan terdapat perbezaan min yang signifikan dalam ujian pra dan pasca bagi kumpulan rawatan (t=3.78). Kesimpulannya, dapatan menunjukkan pendekatan ini dapat meningkatkan aspek kualiti karangan murid, khususnya daripada aspek bilangan isi dan pengembangan idea. Implikasi kajian menunjukkan bahawa pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan pendekatan KBAT dapat meningkatkan pencapaian murid dalam karangan Bahasa Melayu. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |