UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
Abstract : Universiti Pendidikan Sultan Idris |
Objektif kajian ini bertujuan membangun kerangka indikator pemilihan aliran Pendidikan Teknikal dan Vokasional (PTV) bagi murid tingkatan empat. Pembentukan kerangka pemilihan aliran adalah berdasarkan adaptasi kerangka Theory of Planned Behavior, Ajzen. Kajian ini juga mengenal pasti indikator yang kritikal dalam mempengaruhi murid memilih sesuatu aliran pendidikan dan menilai pengaruh niat memilih aliran PTV terhadap gelagat memilih aliran PTV bagi murid tingkatan empat. Kajian ini adalah berbentuk kajian tinjauan dengan menggunakan pendekatan kuantitatif. Pemilihan responden kajian dijalankan secara persampelan rawak berkelompok melibatkan 423 orang murid tingkatan empat aliran PTV di enam buah sekolah menengah di Negeri Sembilan, Selangor, Melaka dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Data yang dikumpul daripada sampel dianalisis menggunakan perisian IBM Statistical versi. 20.0. Data dianalisis dengan menggunakan analisis deskriptif dan inferensi. Analisis deskriptif digunakan bagi memerihalkan maklumat latar belakang responden, manakala statistik inferensi pula melibatkan ujian regresi pelbagai yang menganalisis perbezaan indikator dan menguji hipotesis-hipotesis yang dicadangkan. Hasil kajian menunjukkan bahawa indikator media massa merupakan indikator utama dalam mempengaruhi murid untuk memilih aliran PTV. Dapatan kajian juga menunjukkan indikator rakan sebaya, diikuti indikator kelayakan akademik dan terakhir ialah indikator laluan kerjaya. Analisis regresi pelbagai juga menunjukkan tiada hubungan signifikan antara indikator minat dan sikap, ibu bapa dan keluarga dan guru dalam pemilihan aliran PTV bagi murid tingkatan empat. Dapatan kajian menunjukkan lima hipotesis yang diuji adalah signifikan. Meskipun dapatan ini memberikan maklumat berguna bagi merangka program pendidikan dan motivasi terhadap niat dan gelagat pemilihan aliran pendidikan dalam kalangan murid di Malaysia dan seterusnya mengurangkan masalah penurunan jumlah kemasukan dalam bidang Sains, KejuruteraanlTeknikal dan Matematik, kajian ini adalah terbatas atas beberapa faktor yang memerlukan replikasi dan penambahbaikan dalam kajian lain pada masa akan datang. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |