UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
Abstract : Universiti Pendidikan Sultan Idris |
Kajian tentang ilmu landskap Melayu dengan prinsip prinsipnya yang tersendiri kurang dibahaskan secara khusus dalam kajian mutakhir kerana kekangan dalam mengumpulkan data, khususnya melalui kajian lapangan. Hal ini berpunca daripada arus pembangunan yang menyebabkan kebanyakan tapak kajian landskap Melayu tradisional telah bercampur aduk dengan unsur seni bina landskap moden hingga hilang keasliannya. Oleh itu kajian ini bermatlamat mengetengahkan karya Melayu tradisional sebagai sumber utama untuk mengkaji landskap Melayu berdasarkan kosmologi budayanya sendiri. Hal ini boleh ditelusuri daripada dua sudut. Pertama, melalui kisahlisi kandungan teks yang menceritakan kaedah raja-raja Melayu memilih dan menentukan kesesuaian tempat untuk mendirikan ibu negeri atau istana (ilmu mengenal tapak). Kedua, melalui latar tempat teks yang menggambarkan kehebatan landskap ibu kota/ibu negeri kerajaan Melayu, taman raja-raja Melayu dan istana raja-raja Melayu (ilmu menggubah landskap). Karya Melayu tradisional juga merupakan medium terbaik untuk memahami cara masyarakat Melayu berinteraksi dengan landskapnya (melalui konteks cerita yang dipaparkan) yang perlu diketahui terlebih dahulu sebelum kajian tentang ilmu landskap Melayu dengan prinsipnya yang tersendiri dapat dilakukan. Kajian ini bertitik tolak daripada lima prinsip dalam "Theory of Landscape Aesthetics" oleh Bourassa (1988,1990), iaitu landskap sebagai tempat tinggal yang selamat, landskap sebagai tempat perlindungan, landskap sebagai simbol identiti, landskap sebagai medium mengekalkan kestabilan identiti budaya, dan landskap sebagai peluang mengekspresikan daya kreativiti individu. Dalam hal ini kajian mengupas sejauhmanakah prinsip-prinsip dalam teori tersebut menjadi keutamaan arkitek landskap Melayu zaman silam, iaitu raja-raja Melayu sendiri ketika memilih tapak untuk mendirikan negeri atau istana dan juga ketika menggubah landskap ibu kota, istana atau taman berdasarkan karya Melayu tradisional. Analisis terhadap karya Me1ayu tradisional mendapati landskap memainkan peranan penting dalam seluruh kehidupan masyarakat Melayu zaman silam sama ada dalam aspek biologikal, budaya, kreativiti individu, agama, dan emosi. Kebergantungan terhadap landskap dalam memenuhi seluruh keperluan hidup tersebut menyebabkan masyarakat Melayu zaman silam menekankan prinsip-prinsip pembangunan landskap yang seimbang dan menyeluruh, iaitu yang dapat memenuhi keperluan hidup manusia dalam aspek jasmani dan rohani. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |