UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
Abstract : Universiti Pendidikan Sultan Idris |
Tujuan kajian ini adalah untuk meninjau faktor-faktor yang mempengaruhi kecenderungan pelajar dalam memilih Ekonomi Asas sebagai mata pelajaran elektif di Daerah Machang, Kelantan. Kajian ini memfokuskan kepada kecenderungan pelajar tingkatan empat dalam memilih mata pelajaran Ekonomi Asas di Daerah Machang, Kelantan. Terdapat empat faktor yang dikaji iaitu sikap, pengaruh ibu bapa, peranan guru dan pengaruh rakan sebaya. Data dikumpul dengan menggunakan kaedah soal selidik. Sampel kajian terdiri daripada 262 orang pelajar tingkatan empat yang dipilih secara persampelan rawak mudah. Data yang diperoleh dianalisis dengan menggunakan analisis deskriptif dan inferensi. Dapatan kajian mendapati tiada perbezaan yang signifikan dalam pemilihan mata pelajaran Ekonomi Asas berdasarkan kepada lokasi sekolah, jantina dan pendapatan ibu bapa. Kajian ini juga mendapati faktor sikap, pengaruh ibu bapa dan peranan guru mempunyai hubungan korelasi positif dengan kecenderungan pelajar dalam memilih mata pelajaran Ekonomi Asas. Namun begitu, kekuatan hubungan yang dikenal pasti adalah lemah. Hasil kajian menunjukkan bahawa hanya faktor sikap dan peranan guru merupakan faktor yang signifikan terhadap kecenderungan pelajar dalam memilih mata pelajaran Ekonomi Asas. Implikasinya, guru perlu memainkan peranan penting dalam mendorong sikap pelajar supaya lebih cenderung untuk memilih mata pelajaran Ekonomi Asas sebagai mata pelajaran elektif di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia. Di samping itu, kajian ini turut mengemukakan beberapa cadangan untuk kajian lanjutan pada masa akan datang. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |